BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu kapten-kapten industri dan syarikat-syarikat pelaburan di Malaysia dalam tiga hari berasingan sepanjang lawatannya ke Jerman, dengan tumpuan kepada merealisasikan komitmen pelaburan yang sudah diumumkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mahu sebarang isu berbangkit dalam diselesaikan segera agar lebih banyak pelaburan untuk Malaysia segera diluluskan.

“Ada dalam kalangan mereka yang kita sudah berbincang untuk tempoh agak lama. Ada pula sesetengah daripada mereka yang sudah umumkan (pelaburan) komitmen, tetapi kita mahu mereka tandatangan kelulusan.

“Kita juga akan tekankan soal pelaksanaan. Ada syarikat yang sudah mulakan tindakan. Kita mahu pastikan setiap yang dipastikan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan Perdana Menteri, di sini, pada Ahad.

Tengku Zafrul turut menjelaskan, pertemuan bersemuka antara Perdana Menteri dan pemain-pemain industri adalah untuk memberi peluang kepada syarikat-syarikat Jerman ini mendapatkan penjelasan lanjut mengenai persekitaran ekonomi dan sasaran Kerajaan Malaysia Madani.

“Kita mahu pastikan sebarang isu yang timbul dilapangan dapat diselesaikan. Perdana Menteri sering tekankan soal memudahkan urusan perniagaan. Ini merupakan peluang mereka untuk bangkitkan hal tersebut kepada Perdana Menteri sendiri.

“Pada masa sama, mereka juga boleh dapatkan pandangan Perdana Menteri mengenai situasi di Malaysia termasuk ekonomi dan sebagainya.

“Ini kerana, apabila mereka dengar daripada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan berikan lebih keyakinan mengenai visi kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada pasukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang bertungkus-lumus memastikan aspek memudahcara urusan perniagaan dilaksanakan dengan baik.

Demi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan, Tengku Zafrul turut memaklumkan penubuhan pusat fasilitasi pelaburan Malaysia dan Jawatankuasa Tindakan Perdagangan dan Pelaburan dibuat bagi melancarkan segala urusan berkaitan.

“Persaingan semakin sengit. Oleh itu, kita tubuhkan dua unit baharu iaitu pusat fasilitasi pelaburan Malaysia dan Jawatankuasa Tindakan Perdagangan dan Pelaburan.

“Jawatankuasa ini bermesyuarat setiap dua minggu untuk menyelesaikan isu di lapangan. Saya fikir pelabur menghargai usaha ini. Masih ada ruang penambahbaikan pada masa akan datang,” jelasnya.

Selain Tengku Zafrul, lawatan rasmi Perdana Menteri di Jerman turut diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.