PM harap Malaysia-Turkiye saling jadi ‘hab serantau’ untuk Asia dan Eropah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan pemain industri Turkiye di Ankara, menggariskan strategi Malaysia–Turkiye sebagai hab serantau antara Asia dan Eropah. - Foto BERNAMA
ISTANBUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan kerangka baharu hubungan ekonomi Malaysia–Turkiye, iaitu dengan kedua-dua negara berperanan sebagai hab serantau antara satu sama lain.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menggariskan kerangka baharu hubungan ekonomi Malaysia-Turkiye, dengan kedua-dua negara berperanan sebagai hab serantau antara satu sama lain, memandang Malaysia sebagai pintu masuk Turkiye ke Asia dan sebaliknya.
- Beliau menegaskan bahawa Malaysia kini menjadi destinasi utama industri teknologi tinggi, manakala Turkiye memperkukuh kedudukannya dalam industri pertahanan dan pembinaan bernilai tinggi, memperlihatkan Malaysia sebagai lokasi ideal bagi syarikat Turkiye memasuki pasaran Asia.
- Anwar menekankan kestabilan Malaysia dalam hubungan dengan Amerika Syarikat dan China, memberi kelebihan kompetitif kepada pelabur Turkiye tanpa terikat kepada mana-mana blok geopolitik, menyediakan ekosistem industri yang matang.
“Dalam sektor E&E dan semikonduktor, eksport ke Amerika Syarikat daripada E&E sahaja sudah melebihi AS$30 bilion. Ini suatu pencapaian besar bagi sebuah ekonomi sedang membangun, sebuah negara kecil, jauh lebih kecil daripada Turkiye.
“Namun pada masa yang sama, kita juga menerima pelaburan besar dari China. Tetapi saya perlu tegaskan, seperti yang saya nyatakan dalam kesimpulan saya, bahawa kita melihat hal ini sebagai sesuatu yang amat penting dari sudut strategi, berfaedah dari segi politik, dan menguntungkan dari segi ekonomi untuk memberi tumpuan kepada syarikat‑syarikat anda.
“Dan untuk membolehkan anda bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia. Bersama-sama, anda boleh menjadikan Malaysia sebagai hab asas untuk rantau Asia, dan kami pula menjadikan Turkiye sebagai hab kami ke Turkiye dan negara-negara jiran anda,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di sesi meja bulat Perdana Menteri bersama Syarikat-syarikat Turkiye dan Malaysia di Istanbul, pada Khamis.
Anwar kini sedang dalam lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke Turkiye, yang bermula pada 6 Jan lepas dan berakhir hari ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan model “hab ke hab” itu bukan sekadar retorik diplomatik, tetapi disokong data ekonomi dan perkembangan pelaburan semasa yang menunjukkan Malaysia sedang muncul sebagai destinasi utama bagi industri teknologi tinggi, manakala Turkiye memperkukuh kedudukannya dalam industri pertahanan, pembinaan dan pembuatan bernilai tinggi.
Beliau turut menarik perhatian bahawa Malaysia kini merupakan pemimpin rantau dalam semikonduktor, E&E, AI dan pusat data, menjadikan negara sebagai lokasi ideal untuk syarikat Turkiye memasuki pasaran Asia.
Beliau berkata siri pelaburan besar dari Amerika Syarikat dan China membuktikan Malaysia adalah destinasi yang stabil, boleh dipercayai dan mampu menyediakan ekosistem industri yang matang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


