KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memandang serius sebarang cubaan campur tangan asing yang boleh mengancam kedaulatan serta keselamatan negara, dan komited memastikan kepentingan Malaysia terus dilindungi.
Beliau menegaskan, penahanan beberapa individu yang dikaitkan sebagai ejen Mossad sebelum ini memerlukan pemantauan keselamatan yang lebih rapi susulan wujudnya bukti terkini mengenai usaha pihak luar bekerjasama dengan kelompok dalaman.
Advertisement
“Kita perlu membuat pemantauan lebih rapi. Suara rakyat Malaysia kini semakin lantang menentang keganasan Israel. Kita telah membangkitkan isu Gaza dan Palestin, dan kini isu Iran pula berlarutan.
“Terdapat bukti terkini ada usaha dari luar yang bekerjasama dengan kelompok dalam negara untuk menggunakan pengaruh bagi menjejaskan kepentingan kerajaan dan Malaysia,” katanya di Parlimen, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran kekal berada pada tahap baik meskipun berdepan kekangan peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sekatan antarabangsa.
Beliau berkata komunikasi di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara terus berlangsung, termasuk dua perbualan telefon dengan Presiden Iran serta satu pertemuan ketika berada di Beijing.
“Kita memberi pengakuan untuk terus berhubung walaupun terdapat batasan akibat peraturan PBB dan sekatan. Malah, kita bersetuju untuk meningkatkan kerjasama termasuk dalam kemudahan pendidikan dan perniagaan.
“Kita juga telah menyampaikan pendirian Parlimen Malaysia kepada Kedutaan Iran dan kenyataan ini mewakili keseluruhan pendirian negara. Sudah tentu ia mendapat liputan menyeluruh di Iran kerana Malaysia merupakan antara negara terawal yang menyatakan pendirian tegas,” katanya.