WASHINGTON: Dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) terpaksa melancarkan serangan ke atas Iran secara preemptive semakin dipertikai apabila pegawai pertahanan AS memaklumkan kepada Kongres bahawa tiada sebarang bukti risikan menunjukkan Tehran merancang menyerang AS terlebih dahulu sebelum operasi ketenteraan besar-besaran yang membawa kepada kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Menurut laporan Reuters, beberapa pegawai Pentagon dalam taklimat tertutup mengakui bahawa penilaian risikan tidak menunjukkan sebarang petunjuk bahawa Iran bersedia melakukan serangan awal terhadap kepentingan AS.
Advertisement
Penjelasan ini bercanggah dengan alasan yang diketengahkan pentadbiran Donald Trump sebelum serangan, iaitu kononnya terdapat ancaman serangan balas oleh Iran yang memerlukan tindakan segera.
Walaupun pegawai pertahanan menegaskan bahawa peluru berpandu balistik dan rangkaian proksi Iran masih menjadi ancaman ketara terhadap AS di rantau Asia Barat, pendedahan terbaharu ini menimbulkan persoalan serius mengenai justifikasi asal yang digunakan bagi memulakan operasi ketenteraan tersebut.
Pemerhati politik di Washington berpendapat bahawa keterangan ini boleh meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Trump, khususnya berkaitan ketelusan maklumat risikan yang digunakan untuk menyokong keputusan melancarkan serangan yang kini telah mencetuskan konflik berskala besar.
Menurut laporan antarabangsa, operasi ketenteraan AS–Israel di Iran mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu serta puluhan pegawai kanan lain, dan serangan susulan telah menyebabkan korban awam di banyak wilayah di Iran.
Beberapa ahli Kongres dilaporkan mula mempertikaikan kesahihan asas undang-undang dan moral serangan tersebut, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan siasatan lanjut terhadap cara maklumat risikan ditangani dan disampaikan kepada pembuat dasar.