KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya di Jepun Kishida Fumio mengadakan sidang Jepun-Malaysia melalui panggilan telefon selama 20 minit pada Rabu, dengan kedua-dua mereka menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Berdasarkan kepada intipati perbualan yang disampaikan kepada media oleh Kedutaan Jepun di di sini petang ini, kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap serangan Rusia terhadap Ukraine.

Kishida berkata perbuatan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan tindakan itu menggugat orde asas antarabangsa termasuk di Asia, dengan Jepun menentang sebarang percubaan unilateral untuk mengubah status quo secara paksa.

Sebagai jawapan balas, Ismail Sabri berkata Malaysia bimbang terhadap konflik di Ukraine dan usaha ke arah penyelesaian secara aman harus dipercepatkan demi mengelakkan ketegangan daripada semakin meruncing.

"Malaysia turut menentang pencerobohan mana-mana negara serta mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan," kata Perdana Menteri Malaysia.

Kedua-dua pemimpin juga menyentuh mengenai isu Indo-Pasifik, dengan Kishida menyatakan hasrat beliau untuk mengukuhkan kerjasama bagi merealisasikan "Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka" dan "Hala Tuju ASEAN Indo-Pasifik".

Sebagai jawapan balas, Ismail Sabri berkata beliau menghargai kerjasama dengan negara matahari terbit itu.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau seperti Laut China Selatan dan Timur, Korea Utara dan Myanmar serta isu global lain seperti kewujudan "dunia tanpa senjata nuklear," dan juga bersetuju untuk terus bekerjasama rapat.

Mereka juga bersetuju mengukuhkan lagi hubungan dua hala, sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur pada tahun ini.

-- BERNAMA