PUTRAJAYA: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 4-5 Nov, lawatan pertamanya ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada Okt 2021.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Kishida dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala.

Mereka dijangka meneliti kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi selain bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel.

"Lawatan Kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara. Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini," menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu akan disusuli dengan satu jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Awar bagi meraikan Kishida.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Pada 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).

-- BERNAMA