ISTANBUL: Pihak berkuasa Syria menahan Yahya al-Assad, sepupu kepada bekas Presiden Bashar al-Assad yang digulingkan, bersama beberapa bekas pegawai tentera dan keselamatan dalam operasi di bandar Homs, tengah Syria, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap kementerian Nour al-Din al-Baba mengumumkan penahanan 15 individu menerusi kenyataan yang disiarkan stesen televisyen Al-Ekhbariya Syria.
Antara yang ditahan termasuk bekas ketua Divisyen ke-24 dan Direktorat Pertahanan Udara, Mohammad Dib Afouf serta bekas ketua Mahkamah Antikeganasan, Ghazi Badr Abdel Saleh.
Beberapa bekas ketua siasatan perisikan Tentera Udara, bekas anggota keselamatan politik dan Pengawal Republik, serta tiga juruterbang tentera turut ditahan.
Bagaimanapun, al-Baba tidak memperincikan tarikh penahanan setiap individu atau pertuduhan terhadap kesemua tahanan terbabit.
Penahanan itu menyusuli beberapa operasi terdahulu yang menyasarkan pegawai daripada rejim yang digulingkan.
Pada September, pihak berkuasa Syria mengumumkan penahanan seorang bekas pegawai perisikan tentera dan bekas ketua operasi tentera udara.
Pada Jun, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa seramai 3,548 bekas anggota tentera rejim terdahulu, termasuk puluhan jeneral telah ditahan, menurut stesen televisyen itu.
-- BERNAMA-ANADOLU