Skip to main content
Advertisement

Dunia

Yayasan Hind Rajab fail aduan jenayah di UK terhadap tentera Israel

HRF menggesa pihak berkuasa Britain membuka siasatan serta menangkap dan menyoal siasat Dafna dengan merujuk kepada Artikel 146 Konvensyen Geneva Keempat. - Foto HRF
HRF menggesa pihak berkuasa Britain membuka siasatan serta menangkap dan menyoal siasat Dafna dengan merujuk kepada Artikel 146 Konvensyen Geneva Keempat. - Foto HRF

Advertisement

LONDON: Yayasan Hind Rajab (HRF) memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa United Kingdom (UK) terhadap seorang anggota tentera Israel atas dakwaan terlibat dalam jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Yayasan itu dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa Lidor Dafna, seorang anggota simpanan yang bertugas sebagai pengendali jentolak berperisai D9 dalam Batalion Kejuruteraan Tempur ke-603, Briged Berperisai ketujuh, terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza dan Lubnan sejak November 2023.

HRF turut menyatakan bahawa pihaknya mempunyai alasan untuk mempercayai Dafna kini berada di UK.

Aduan itu tertumpu kepada pemusnahan Great Ocean Mills, sebuah kemudahan perindustrian pengeluaran tepung di Koridor Morag antara Khan Younis dan Rafah, pada 25 Mei 2025.

Menurut yayasan itu, rakaman yang dimuat naik Dafna di media sosial menunjukkan sebuah jentolak merobohkan silo penyimpanan gandum di kemudahan berkenaan.

HRF mendakwa tentera Israel kemudiannya menduduki bangunan itu dan menjadikannya sebagai pangkalan tentera, selain dilaporkan menggunakannya untuk melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang mendapatkan bantuan makanan di sebuah pusat pengagihan Yayasan Kemanusiaan Gaza berhampiran.

Yayasan itu berkata kemudahan berkenaan dimusnahkan ketika Israel menyekat kemasukan makanan, bahan api dan ubat-ubatan ke Gaza, dengan harga tepung dilaporkan mencecah US$70 sekilogram, manakala setengah juta penduduk berdepan kebuluran.

HRF turut mendakwa Batalion ke-603 melaksanakan lebih 60 operasi perobohan terhadap bangunan termasuk masjid dan blok kediaman, selain menyumbang kepada kemusnahan meluas infrastruktur awam serta tanah pertanian semasa pembinaan Koridor Morag.

Menurut yayasan itu, siasatannya menunjukkan Dafna berkemungkinan memikul tanggungjawab jenayah atas pemusnahan harta benda secara besar-besaran tanpa keperluan ketenteraan, serangan yang disengajakan terhadap objek awam, kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan, pembasmian sebagai jenayah terhadap kemanusiaan serta genosid.

Justeru, HRF menggesa pihak berkuasa Britain membuka siasatan serta menangkap dan menyoal siasat Dafna dengan merujuk kepada Artikel 146 Konvensyen Geneva Keempat, yang mewajibkan negara mencari individu yang didakwa melakukan pelanggaran berat terhadap konvensyen berkenaan.

Ketua Pengarah HRF Dyab Abou Jahjah berkata Dafna merakam tindakannya sendiri ketika memusnahkan antara kemudahan pengeluaran makanan terakhir yang masih beroperasi untuk penduduk yang dilanda kebuluran, sebelum memuat naik rakaman itu di media sosial seolah-olah sebagai trofi.

"United Kingdom kini berdepan ujian mudah: adakah ia akan menangkap dan mendakwa seorang lelaki yang masih berkhidmat sebagai anggota tentera yang melakukan jenayah sedemikian, atau sekali lagi membenarkan pelaku genosid bergerak bebas di negara itu dan kembali ke Gaza untuk meneruskan jenayahnya?" katanya.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, tentera Israel terus melancarkan serangan di Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,551 rakyat Palestin dan mencederakan 5,573 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sejak Oktober 2023, lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 175,000 cedera akibat serangan Israel di Gaza, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu musnah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement