Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan fasa pertama Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)

Ia membabitkan pembinaan sebanyak 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11.

Tambah Najib, buat permulaan program PPA1M Putrajaya menawarkan sebanyak 10,336 unit kediaman berkualiti dan mampu milik khusus buat penjawat awam yang tinggal di Putrajaya.

"Keluasan lantai minimum antara 1,000 dan 1,500 kaki persegi dengan harga antara RM150,000 dan RM300,000," katanya ketika melancarkan projek itu di sini, hari ini.

"Keistimewaannya ialah pembeli tidak perlu membayar bayaran kemajuan, sebaliknya hanya RM2,000 sebagai bayaran minimum permulaan, dan ansuran seterusnya dibayar sebaik sahaja unit kediaman itu diserahkan kepada mereka,"

"Mana ada kerajaan negara lain yang buat macam ini," katanya lagi.

Jelas Najib,projek berkenaan akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.

PPA1M merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik khusus buat penjawat awam di bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Najib berkata sebagai sebuah pentadbiran yang prihatin dengan kehendak orang ramai, kerajaan bergerak seiring dengan denyut nadi rakyat dalam memahami segala keperluan mereka, dan di Putrajaya yang majoriti penduduk ialah penjawat awam, soal kediaman selesa yang mampu milik, sentiasa menjadi perhatian ramai.

PPA1M merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik khusus buat penjawat awam di bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Projek berkenaan akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta, antara SP Setia Bhd dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Putrajaya Holdings dengan subsidi kerajaan dalam bentuk penyediaan tanah dan suntikan dana modal.

Mereka yang berminat membeli unit rumah berkenaan boleh mengisi borang PPA1M-1 yang dimuat turun daripada laman web Perbadanan Putrajaya www.ppj.gov.my atau mengambilnya di kaunter PPj.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke kaunter PPA1M di kompleks PPj, sebelum 9 Mei.