KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia bermula esok sekali gus menjadi lawatan rasmi pertama beliau sejak bergelar Perdana Menteri pada Mac 2020.

Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta  delegasi kecil untuk pertemuan rasmi bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Istana Merdeka, Jakarta.

Tempoh lawatan rasmi juga dihadkan kepada kurang 24 jam untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar (KLN) memaklumkan bahawa Muhyiddin menerima jemputan khas daripada Jokowi selepas menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu.

“Terdapat beberapa perkara melibatkan kepentingan kedua-dua negara yang perlu dibincangkan bersama termasuk isu-isu utama seperti kerjasama ekonomi, keselamatan serantau dan bilateral serta usaha bersama menangani pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Antara isu yang bakal dibincangkan termasuk usaha bersama menangani diskriminasi antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia dan Indonesia serta kerjasama dalam perlindungan alam sekitar, terutama berhubung isu jerebu rentas sempadan.

Selain itu, turut dibincangkan adalah usaha bersama dalam perdagangan dan pelaburan, termasuk potensi penglibatan perniagaan-perniagaan Malaysia dalam menyokong pelan Indonesia untuk menubuhkan ibu negara baharu di Kalimantan.

Muhyiddin dan Jokowi juga dijangka mengadakan rundingan berhubung Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk mencapai kata sepakat berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan merentas sempadan.

Dalam usaha untuk meminimumkan risiko jangkitan COVID-19, beberapa SOP ditetapkan sepanjang lawatan rasmi itu.

Delegasi Malaysia perlu mengemukakan keputusan COVID-19 negatif sebelum lawatan itu serta sejurus selepas ketibaan mereka di lapangan terbang di Jakarta.

Mereka juga tidak dibenarkan membuat sebarang perjalanan selain ke lokasi-lokasi yang ditentukan untuk tujuan lawatan rasmi.

Setelah pulang ke Malaysia, delegasi itu perlu menjalani kuarantin wajib seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kali terakhir kedua-dua pemimpin negara mengadakan pertemuan rasmi adalah pada 8 Ogos 2019 antara Presiden Jokowi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.