Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan lawatan separuh hari ke Tianjin, sebuah bandar pelabuhan utama di timur laut China.

Beliau bersama rombongannya menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Beijing yang hanya mengambil masa 30 minit ke Tianjin sejauh 138.6km, berbanding perjalanan menaiki kenderaan yang mengambil masa hampir dua jam.

Ketibaan Najib disambut Naib Datuk Bandar Kerajaan Perbandaran Tianjin, Zhao Haishan.

Perdana Menteri dan rombongan menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Beijing yang hanya mengambil masa 30 minit ke Tianjin sejauh 138.6km. - Foto Bernama
Najib akan menyaksikan acara menandatangani Perjanjian Operasi untuk projek penyahgaraman air laut dan pembuatan garam antara syarikat Xianda dari Malaysia dengan Suruhanjaya Pembangunan Kawasan Ekonomi-Teknologi Tianjin. -- Bernama