KUALA LUMPUR: Perancangan jangka panjang dalam memulihara spesies Harimau Malaya merupakan antara perkara yang dibincangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Ismail Sabri dalam kenyataan di laman Facebook berkata perbincangan itu berlangsung pada pertemuan dengan Tengku Hassanal yang berkenan mencemar duli melawat Pejabat Perdana Menteri petang Isnin.

"Perbincangan adalah mengenai perancangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dalam usaha memulihara penghidupan Harimau Malaya di Pahang dan bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Saya juga menyembah maklum mengenai tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan serta perancangan jangka panjang untuk memulihara Harimau Malaya," katanya.

Perdana Menteri berkata Harimau Malaya merupakan haiwan hampir pupus dan terdapat kurang daripada 150 ekor di negara ini yang sebahagian besarnya adalah di Pahang.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata jika tindakan segera tidak diambil, Malaysia berdepan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.


-- BERNAMA