SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi penjelasan secara terbuka berhubung isu persempadanan yang dimeterai menerusi beberapa memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kerajaan yang disifatkan ‘semberono’ itu dilihat dibuat tanpa mengambil kira impak secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, terdapat laporan yang menyatakan Perdana Menteri mengenepikan pandangan daripada pakar sedangkan isu berkaitan persempadanan yang jelas membabitkan kedaulatan negara itu, tidak boleh dikompromi.

"Saya tak tuduh Perdana Menteri. Saya hendak minta dia beri penjelasan atau kenyataan, keterangan kepada rakyat secara terbuka, tak payah diselindungkan, apa yang dia telah meterai dalam perjanjian itu.

"Kerana, ada laporan yang beritahu, pakar-pakar maritim nasihat, Perdana Menteri jangan tanda tangan. Kalau dia nasihat jangan tanda tangan, (maknanya) ada perkara-perkara tertentu.

"Saya sudah dapat tadi sebahagian daripada kandungan perjanjian atau isu-isu masalah sempadan antara kita dan Indonesia.

"Ya, ia negara sahabat kita, tetapi yang berkaitan kedaulatan, tak boleh dikompromi. Jangan mudah-mudah hendak bagi walau seinci pun," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada pentas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di D’Cattleya, Senawang, dekat sini, malam tadi.

Program yang dibanjiri kira-kira 5,000 orang itu turut dihadiri oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Persempadanan Maritim: PM perlu telus isu persempadanan maritim dengan Indonesia

Sebelum ini, beberapa MoU dilaporkan berjaya dimeterai menerusi lawatan kerja Presiden Joko Widodo dan delegasinya ke Malaysia baru-baru ini.

Antaranya termasuk perjanjian lintas sempadan, keselamatan perairan iaitu perjanjian berkaitan persempadanan laut wilayah kedua-dua negara di bahagian paling selatan Selat Melaka dan persempadanan laut wilayah dua negara.