Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua rakyat di negara ini menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia.

Beliau berkata, sempena hari istimewa itu, seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu membulatkan tekad dan memperkukuhkan azam serta semangat perpaduan untuk menjadi bangsa yang berjaya.

"Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah inilah yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

"Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. Insya-Allah, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia yang kita cintai dan tumpahkan sepenuh taat setia ini akan terus berada di landasan yang kukuh untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia Prihatin di Sibu, Sarawak pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana jua anda berada.

"Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita yang bertuah ini sentiasa dilimpahi rahmat kemanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan," katanya.