Perdana Menteri bersetuju menubuhkan kumpulan khas penasihat anak muda berkepakaran bagi menasihati dan memberi idea kepadanya secara terus bagi membangunkan belia dan negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan persetujuan cadangan itu ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020 di Pusat Konvensyen Antarbangsa (Persada), Johor Bahru.

Malah, katanya seorang wakil belia akan dilantik dalam Parlimen di Dewan Negara.

“Mengenai (cadangan) kerajaan membentuk kumpulan khas penasihat anak muda bagi menasihati saya berkaitan isu-isu belia, saya bersetuju dengan cadangan itu.

“(Selain itu) untuk menentukan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen, saya umumkan pelantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara,” katanya ketika berucap.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.

Jelas Muhyiddin, kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan negara di pelbagai peringkat.

“Saya juga ingin belia menunjukkan contoh terbaik dalam membudayakan norma baru kehidupan,” ujarnya.

Berdasarkan statistik tahun 2019, golongan belia mewakili 46.8 peratus atau 15.25 juta daripada jumlah keseluruhan 32.6 juta penduduk negara ini

Jumlah itu menunjukkan hampir separuh penduduk merupakan golongan belia, katanya, sekali gus
signifikan dan mempengaruhi setiap aspek perancangan pembangunan negara.