Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran dividen 10 peratus kepada pelabur Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2013.

Pengumuman dividen kali pertama itu adalah manifestasi kepada kejayaan Program Transformasi Pertubuhan Peladang.

Menurut Najib, walaupun DPK baru dua tahun beroperasi, namun beliau mengumumkan dividen bagi laporan kewangan pertama DPK, yang bakal memberi manfaat kepada semua.

"Tinggi harapan saya agar pemberian dividen ini akan menjadi pencetus semangat untuk kita semua terus menambah pelaburan dalam DPK," kata Najib semasa berucap di majlis pengumuman dividen DPK dan pelancaran Kelab Usahawan 1Azam Parlimen Pekan di Dataran Pekan, Pahang.

DPK dilancarkan pada 17 Disember 2012 semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke-39 di Kuala Lumpur.

Penubuhan DPK adalah sebahagian daripada strategi lautan biru NAFAS sebagai pertubuhan induk peladang negara.

Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada anggota dan rangkaian pertubuhan peladang.

Ia melibatkan NAFAS, 14 pertubuhan peladang negeri, 276 pertubuhan peladang kawasan dan 826,000 anggota peladang berdaftar di seluruh negara.