MALAYSIA
PM umum tubuh jawatankuasa bersama KKM, MOF pastikan kos kesihatan swasta mampu milik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi ramai rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu diakses akibat inflasi kos perubatan yang tinggi. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bersama bagi memastikan kos kesihatan swasta yang berkualiti adalah mampu milik.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan jawatankuasa bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan kos penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti adalah mampu milik.
- Jawatankuasa ini akan melaksanakan reformasi sistem kesihatan swasta termasuk ketelusan harga, pengukuhan kesihatan digital, dan akses melalui insurans asas perubatan sejagat.
- Mesyuarat antara KKM, MOF dan Bank Negara Malaysia akan diadakan untuk membincangkan isu ini, dan Anwar memberi jaminan beliau sendiri akan memastikan pelaksanaan reformasi tersebut.
“Bagi ramai rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu diakses akibat inflasi kos perubatan yang tinggi. Ini bukan sekadar isu ekonomi, ia merupakan isu kesejahteraan negara.
“Saya berbesar hati mengumumkan penubuhan jawatankuasa bersama kementerian, terdiri daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan, bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti adalah mampu milik dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar jawatankuasa tersebut bukan sekadar melaksanakan pelarasan kecil namun ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta yang mengutamakan hasil, ketelusan dan keadilan.
“Reformasi utama termasuk harga yang lebih jelas, kesihatan digital yang lebih kukuh, dan akses yang diperluaskan melalui pilihan mampu milik seperti produk insurans asas perubatan sejagat,” katanya.
Anwar turut mengesahkan satu mesyuarat akan dijalankan esok oleh KKM, MOF dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam.
“Matlamat kita ialah menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tunjang ketahanan negara, dipandu oleh belas ihsan, dasar yang mantap dan keperluan rakyat. Dan saya memberi jaminan, saya sendiri akan memastikan reformasi ini dilaksanakan,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Sasana Symposium 2025 dan Pelancaran Digital Asset Sandbox di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami