KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk UMNO meninggalkan Perikatan Nasional (PN), selepas kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh kerajaan, kata veteran parti Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mendakwa, jawatan Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri tidak cukup untuk menghalang PN merosakkan sistem kenegaraan ini.

Tambah beliau lagi, tindakan pihak berkuasa menghalang Ahli-ahli Parlimen memasuki bangunan Parlimen semalam merupakan satu perbuatan yang memeranjatkan dan menimbulkan banyak persoalan sama ada itu dilakukan atas arahan Jemaah Menteri.

“Bila saya semak aplikasi MySejahtera untuk melihat bangunan Parlimen sebagai 'hotspot', dilaporkan hanya ada empat kes positif COVID-19 sepanjang tempoh 14 hari dan dalam jarak 1km dari bangunan itu.

“Sudahlah Parlimen ditangguh mesyuaratnya pada Isnin (semalam). Patutnya Mesyuarat Khas bagi hari kelima supaya boleh dilaksanakan tugas Dewan Rakyat untuk mengungkaikan Proklamasi Darurat dan membatalkan ordinan-ordinan darurat,” kata Shahrir dalam catatannya itu. 

 
Sumber Facebook 
 
Shahrir berkata, sekiranya arahan itu dilakukan oleh Jemaah Menteri, maka tindakan itu juga seakan-akan memperlekehkan peranan berpelembagaan Yang di-Pertuan Agong.

“Semuanya atas arahan Jemaah Menteri? Jemaah Menteri yang sama yang meremehkan peranan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong. Tapi setelah mengepung bangunan Parlimen, boleh pula dibenarkan ahli-ahli PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) Parlimen masuk ke kawasan bangunan Parlimen.

“Dari satu kesilapan kepada satu lagi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PN ini. Yang pertama, belum selesai, ditambahkan masalah perbuatan sendiri,” katanya lagi.

Atas sebab itu, Shahrir berkata, sudah tiba masanya untuk  UMNO membuat pendirian tegas dan meninggalkan PN.



Perarakan Ahli Parlimen Pembangkang dihalang

Pada Isnin,  Ahli-ahli Parlimen dari Blok Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebagai reaksi menunjukkan bantahan kepada penangguhan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini sudah tumbang.

"Kerajaan Mahiaddin (Muhyiddin) telah jatuh, tumbang hari ini. Saya mendapat maklumat ada Ahli Parlimen yang minta keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

"Dengan 107 (Ahli Parlimen) di sini campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan," katanya ketika berucap dalam himpunan itu.

BACA: Anwar dakwa PN kini tiada majoriti

Beberapa hari sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

"Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua 4 sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.

"Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta," kata beliau.

BACA: 4 sampel COVID-19 dari Parlimen dipercayai varian Delta - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham turut memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak KKM yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.

Sehubungan itu, sidang khas Parlimen yang seharusnya disambung hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada Ahli Parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh KKM.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat penangguhan itu.