CHUKAI: Sebahagian besar daripada 106 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara menunjukkan prestasi memberangsangkan menerusi aktiviti ekonomi apabila berjaya meningkatkan pendapatan ahli serta memperkukuh rantaian bekalan sektor perikanan negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata PNK berkenaan berupaya menjadi penggerak ekonomi bagi nelayan di kawasan mereka melalui aktiviti perniagaan yang berdaya maju dan berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti nelayan serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
Advertisement
Pada masa sama, beliau berkata pelbagai bantuan turut disediakan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, LKIM serta agensi berkaitan seperti pembiayaan modal perniagaan bagi membantu memperkukuh keupayaan operasi, dan daya saing persatuan berkenaan.
"LKIM berbangga apabila kebanyakan PNK berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi seperti ditunjukkan PNK Kijal yang mengusahakan kolam memancing air masin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan Agro Madani dan sesi libat urus bersama penerima Lesen Sampan Khas (LSK) di Kolam Memancing Air Masin Kijal, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan peruntukan tambahan sebanyak RM300,000 kepada PNK Kijal bagi meningkatkan produktiviti projek kolam memancing berkenaan.
Selain itu, beliau berkata setiap perniagaan yang dijalankan PNK perlu diuruskan dengan baik dan konsisten bagi memastikan kelangsungan operasi serta pulangan yang mampan, sekali gus berupaya menjana keuntungan yang tinggi.
Sebanyak 436 LSK dikeluarkan kepada nelayan di Terengganu pada tahun ini sebagai usaha memperluas akses bantuan.
“Bagaimanapun penerima lesen berkenaan perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan, termasuk wajib turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun bagi melayakkan mereka menerima subsidi, dan insentif yang disediakan kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA