KUALA LUMPUR: Polarisasi parti politik negara merupakan sumber ketegangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia diikuti faktor jurang ekonomi, sosial serta jurang bandar dan luar bandar.

Dapatan itu diperoleh hasil tinjauan oleh syarikat penyelidikan pasaran antarabangsa, Ipsos, yang bertajuk "Dunia popularisasi kita".

Tinjauan dijalankan di 28 negara antara 23,004 orang dewasa melalui panel dalam talian Ipsos antara 23 Disember 2020 dan 8 Januari 2021.

Kajian tersebut menyimpulkan, sama seperti di negara-negara Asia yang lain, rakyat Malaysia melihat perlunya mereka lebih sensitif ketika meluahkan diri kepada orang lain. Di negara-negara Barat pula, mereka lebih cenderung mempercayai bahawa manusia kini lebih mudah tersinggung. 

"Di Malaysia, ketegangan ini sangat kuat dirasakan ketika menyebut tentang sokongan dari parti politik yang berlainan - di kebanyakan negara, ketegangan antara mereka yang kaya dan miskin berkecenderungan ke arah yang paling tinggi.

"Rakyat Malaysia ingin melihat penduduk senegara mereka untuk lebih sensitif ketika berbual dengan orang yang berbeza pendapat atau dari pelbagai latar belakang.

"Ini adalah sentimen yang lazim di seluruh Asia, berbanding dengan pandangan yang sememangnya
bertentangan pada dunia Barat," kata Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Ipsos (Malaysia) Lars Erik Lie.

Kajian juga mendapati polarisasi politik sebagai sumber ketegangan utama adalah yang tertinggi di Amerika Syarikat.