KUALA LUMPUR: Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenarkan untuk diamalkan di Malaysia selepas melalui proses pemulihan beberapa tahun semenjak 2014.

Tarekat ini merupakan satu daripada tarekat tasawuf yang telah diluluskan dan berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Negeri Sembilan 2005.

Bukan satu, tapi beberapa kenyataan telah dikeluarkan berhubung perkara itu malah keputusan sebulat suara itu dibuat hasil daripada daripada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 pada tahun 2020 yang merupakan keputusan bersama mufti-mufti seluruh negeri di Malaysia yang hadir ketika itu.

Bahkan, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh pada 9 April lepas sekali lagi menekankan tarekat itu dibenar diamalkan selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat selepas kajian semula dibuat.

BACA: Dibenar amal Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani

Justeru, katanya, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah tidak lagi terpakai.

Berdasarkan kenyataan itu, jelas pendirian MKI dan kerajaan berhubung isu tersebut namun kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary baru-baru ini menimbulkan polemik baharu.

Semuanya bermula di Dewan Negara pada 28 Mac lepas apabila beliau menjawab pertanyaan Senator Khairil Nizam Khirudin berkaitan amalan kumpulan ‘tarekat’ tertentu yang tersebar di media sosial.

BACA: Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah berdaftar bawah Enakmen Tarekat NS

“Antara yang pernah diputuskan menyeleweng oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam adalah seperti ajaran al-Arqam, Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Tarekat Naqsyabandiah Aliyah Syeikh Nazim al-Haqqani, Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol dan Tarekat Mufarridiyah.

“Kesemua tarekat-tarekat ini telah pun diputuskan dari segi pandangan hukumnya bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sehingga ke tarikh ini tidak ada satu pindaan untuk membatalkan amalan-amalan ini dari sudut pandangan hukumnya tetap masih sehingga ke hari ini bercanggah dengan Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri,” katanya.

Begitupun, sumber memaklumkan apa yang dibacakan Ahmad Marzuk itu bukanlah jawapan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tarekat Naqsyabandiah | Sedia beri penjelasan jika terdapat keraguan

Dengan kata lain, jawapan itu adalah jawapan Ahmad Marzuk sendiri yang ditambah daripada jawapan asal disediakan Jakim.

Berdasarkan jawapan disediakan jabatan itu, tiada langsung nama Tarekat yang disebut malah Jakim hanya menyatakan:

“Pada prinsipnya, amalan apa jua kumpulan ‘tarekat’ hanya boleh diamalkan dengan syarat tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariah dalam kerangka pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Sepatutnya, Timbalan Menteri hanya membacakan jawapan disediakan Jakim dan menurut sumber itu lagi, jawapan Ahmad Marzuk mengandungi beberapa kesalahan fakta yang boleh dirujuk ke Presiden Dewan Negara kerana ‘mengelirukan Dewan’.

Kenyataan itu pantas mendapat respons Pengerusi MKI, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah, Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan dibuat MKI termasuk berkaitan isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani.

[TERKINI] JAKIM tidak boleh keluarkan sebarang kenyataan - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin bertitah, perkara itu berada di bawah bidang Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI berkenaan dan Majlis Raja-Raja malah Menteri dan Timbalannya juga tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan Jawatankuasa Muzakarah.

Titah Baginda, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Titah tersebut disambut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang berkata, Jakim akan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh jawatankuasa tersebut di samping arahan semasa daripada Pengerusi MKI.

Serah Memorandum | Lebih 100 NGO minta Ahmad Marzuk digantikan

Susulan dari kenyataan daripada Ahmad Marzuk itu, beliau mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kenyataan keras 'Laknat Allah di dalam laman sosial Facebook beliau yang didakwa tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan kerana itu, hari ini, lebih 150 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar satu memorandum ke Istana Negara dan Istana Selangor.

Memorandum tersebut, selain menzahirkan sokongan padu kepada Raja-Raja Melayu, ia juga mendesak agar Ahmad Marzuk digantikan.