KUALA LUMPUR: Polis belum menerima permohonan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bagi mengesan Aliff Awang yang dikenali sebagai Opai bagi membantu siasatan berhubung isu nombor pendaftaran 'QPA1' yang bukan didaftarkan atas kereta McLaren miliknya.

Nombor pendaftaran berkenaan dilihat dipaparkan di kenderaan mewah tersebut dan difahamkan sehingga kini, Opai yang merupakan suami kepada pelakon Fatin Afeefa belum hadir ke pejabat JPJ untuk dirakam keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Erick Jusiang secara lisan berhubung perkara itu, baru-baru ini.

"Beliau (Erick) ada memaklumkan perkara itu kepada saya, namun setakat ini, belum ada permohonan rasmi dibuat.

"Apabila kami sudah menerima permohonan tersebut, pihak polis akan memanggil individu berkenaan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada Operasi Hormat Undang-Undang Jalanraya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan JPJ akan meminta bantuan polis bagi mengesan Opai untuk membantu siasatan berikutan masih belum hadir dalam tempoh 14 hari ke pejabat JPJ meskipun notis panggilan temu siasat sudah diserahkan.

-- BERNAMA