Polis membongkar sindiket memalsukan pasport antarabangsa dan cop Jabatan Imigresen Malaysia setelah menahan tiga suspek lelaki yang sebelum itu terlibat dalam kes samun seorang wanita berhampiran Plaza Tol Sungai Besi awal pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata polis menemui 19 pasport antarabangsa pelbagai negara, komputer dan printer, 23 rubber stamp atau cop dari pelbagai syarikat termasuk cop Imigresen Putrajaya dan tali pinggang menyerupai tali pinggang Jabatan Imigresen.

Beliau berkata suspek pertama ditahan berhampiran keretanya jenis Perodua Myvi di parkir flat Lestari Perdana, Seri Kembangan kira-kira pukul 1 tengah hari semalam manakala dua lagi suspek ditangkap semasa serbuan di sebuah unit flat tersebut.

Polis turut menemui pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pemalsuan pasport serta pelbagai barang milik mangsa yang disamun seperti beg tangan, kad pengenalan, kunci dan telefon bimbit.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dearah Serdang (IPD) di sini, hari ini, Thaiveegan berkata mangsa samun, wanita berusia 40 tahun yang memandu kereta telah dihalang sekumpulan lelaki menaiki kira-kira enam buah motosikal berhampiran plaza tol berkenaan pada kira-kira 3.30 pagi.

"Dalam kejadian itu mangsa sempat melihat salah seorang daripada suspek telah berlari ke sebuah Perodua Myvi berwarna kelabu sebelum kesemua mereka melarikan diri. Berdasarkan maklumat mangsa, suspek dipercayai seramai kira-kira lapan hingga 10 orang," katanya.

Katanya ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan polis sedang menjejak suspek yang lain.