MALAYSIA
Polis buka kertas siasatan insiden kecoh di Perhimpunan Agung Bersatu

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan yang tercetus ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan semasa ucapan dasar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, pada Perhimpunan Agung Tahunan parti di IDCC, Shah Alam.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil; tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
- Polis meminta saksi tampil membantu siasatan dan menghubungi pegawai penyiasat jika mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian.
Beliau memberitahu dalam laporan itu, pengadu memaklumkan insiden berkenaan berlaku ketika Presiden Bersatu sedang berucap sebelum dua ahli parti tiba-tiba bangun dan menjerit sehingga mengganggu ucapan berkenaan.
“Pengadu yang cuba menenangkan salah seorang daripada mereka ditarik dari belakang sehingga terjatuh, lalu mencetuskan kekecohan di dalam dewan,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Mohd Iqbal berkata, insiden itu dapat dikawal dengan bantuan beberapa ahli parti yang lain sebelum kedua-dua lelaki terbabit dibawa keluar dari dewan dan perhimpunan diteruskan seperti biasa.
Tambah beliau, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib yang boleh didenda tidak melebihi RM100,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superitendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Media melaporkan kekecohan tercetus di bahagian tengah dewan, dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati.
Walaupun insiden itu hanya berlangsung beberapa minit, ia mengganggu perjalanan ucapan dasar Presiden yang sedang menekankan isu perpaduan dalaman dan masa depan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin bagaimanapun meneruskan ucapannya selepas keadaan kembali terkawal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami