MALAYSIA
Polis buka kertas siasatan TikTok palsu guna nama Saifuddin Nasution

Fadil Marsus berkata, sehubungan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung beberapa akaun palsu yang menggunakan nama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menawarkan bantuan kewangan.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fadil Marsus berkata, sehubungan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam pelanggaran undang-undang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fadil turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan yang disebarkan melalui media sosial.Beliau turut meminta masyarakat agar menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Sebelum ini, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, akaun TikTok palsu itu kononnya mendakwa Saifuddin ingin menyalurkan bantuan kewangan melalui pautan WhatsApp diletakkan di ruangan biografi laman terbabit.
Menurutnya, akaun rasmi TikTok Saifuddin Nasution menggunakan nama penuh beliau SAIFUDDIN_NASUTION seperti di pautan https://www.tiktok.com/@saifuddin_nasution.
Dalam pada itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan terus diwujudkan bagi memperdaya orang ramai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami