Skip to main content

Malaysia

Polis yakin banduan reman lolos masih bersembunyi di kawasan pencarian

FB Polis Daerah Sungai Buloh
Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, (gambar) melarikan diri ketika berada dalam tahanan reman bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. -Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pelbagai agensi keselamatan mempergiatkan usaha memburu seorang banduan tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata operasi itu melibatkan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia serta beberapa unit PDRM termasuk Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am.

Advertisement

Beliau berkata orang awam tidak perlu panik kerana pihak berkuasa percaya suspek masih berada dalam kawasan pencarian dan keadaan adalah terkawal.

“Kita percaya suspek masih berada dalam kawasan pencarian berdasarkan maklumat yang diperoleh, namun kesahihannya masih dalam penelitian. Orang awam tidak perlu terlalu bimbang kerana keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Menurutnya, lebih 100 anggota dianggarkan terlibat dalam operasi berkenaan yang digerakkan sejurus selepas kejadian dan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Mengulas punca suspek melarikan diri, Mohd Hafiz berkata perkara itu masih dalam siasatan dan tumpuan ketika ini adalah usaha penangkapan semula suspek.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan akan melibatkan tindakan dalaman yang akan diambil kemudian. Buat masa ini, fokus kita adalah kepada usaha mengesan dan menangkap semula suspek,” katanya.

Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, melarikan diri ketika berada dalam tahanan reman bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Suspek kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Must Watch Video