AMPANG JAYA : Polis sedang memburu usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berkata, Sajat merupakan seorang saksi yang perlu hadir bagi prosiding perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

Menurut kenyataan itu, Nur Sajat dikesan beralamat terakhir di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya.

"Kes ini  disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Jika sabit bersalah, Nur Sajat boleh dikenakan hukuman  penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.


"Saksi tersebut atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692954 dengan segera," tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah pada 23 Februari lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana  gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.

Sebelum itu satu rakaman video tular di laman sosial, memaparkan Sajat menangis dalam keadaan bergari.