IPOH: Polis sedang memburu seorang lelaki Vietnam bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara dalam kejadian pergaduhan di kawasan tempat letak kereta di Taman Sri Kurau, Bercham Gama, dekat sini bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek dikenali sebagai Tam berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu masih bebas sehingga kini.

"Kejadian pada 18 April kira-kira 10.47 malam berlaku di sebuah pusat hiburan, mangsa yang berusia 40 tahun bersama suspek dan lima lagi rakan senegara datang ke sebuah premis karaoke untuk berhibur.

"Berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek ketika di dalam premis sehingga berlarutan ke kawasan tempat letak kereta sebelum mangsa ditikam menggunakan botol kaca dan punca pergaduhan dikatakan mangsa berkelakuan tidak senonoh dengan teman wanita suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa yang parah telah dibawa oleh rakan-rakannya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan manakala suspek telah melarikan diri.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi akibat tikaman pada leher dan badan mangsa setelah dimasukkan ke wad kecemasan HRPB.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 19 April lepas mendapati mangsa maut akibat luka hirisan pada leher menggunakan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata pihak polis telah menahan reman lima rakan mangsa termasuk dua wanita untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.

"Kita telah menggerakkan usaha menjejak Tam yang menjadi suspek utama kes ini dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, ASP S. Dasarathan menerusi talian 012-5644484," katanya.

-- BERNAMA