Skip to main content

Malaysia

Polis buru tiga suspek pecah masuk rumah

Polis buru tiga suspek pecah masuk rumah
Tangkap layar rakaman CCTV penduduk yang tular memaparkan tiga lelaki disyaki melakukan jenayah pecah rumah di Seksyen 9, Shah Alam, Khamis lalu.

SHAH ALAM: Tiga individu yang berpakaian gelap dengan pelitup muka sedang giat diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Seksyen 9 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan kes itu diterima pihaknya pada jam 11.52 malam daripada seorang lelaki warga emas berusia 60-an yang juga pesara.

Advertisement

Menurutnya, kes itu juga telah tular di media sosial yang berlaku sekitar jam 8 sehingga 11 malam.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati rumah tersebut tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan.

"Pihak polis telah mendapatkan rakaman CCTV dari pihak pengurusan perumahan serta jiran berhampiran bagi tujuan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Amzar Mohamad Shuffie di talian 013-6666657.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan," ujarnya. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video