MALAYSIA
Polis buru wanita miliki dua kad pengenalan, disyaki dalang sindiket dadah di Kelantan

Mohd Yusoff berkata polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes berkenaan. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang mengesan seorang wanita dipercayai memilik dua kad pengenalan Malaysia dan Thailand, susulan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.
Ringkasan AI
- Seorang wanita dipercayai memiliki kad pengenalan Malaysia dan Thailand serta terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah; Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok.
- Polis Kelantan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan suspek yang sukar dikesan kerana memiliki dua kewarganegaraan.
- Pejabat Tanah dan Galian Kelantan mengenal pasti pangkalan haram di tanah kerajaan negeri untuk tindakan perobohan selepas notis dikeluarkan, bagi membanteras aktiviti pencerobohan dan sindiket.
"Agak sukar untuk mengesan suspek kerana dia mempunyai dua kad pengenalan. Jika ditahan di Thailand, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Thailand manakala jika ditahan di Malaysia, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Malaysia, sekali gus menyukarkan penentuan status kewarganegaraannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.
"Polis sedang memburunya. Kes tangkapan dadah berlaku di Golok, Thailand dan wanita terbabit disyaki ahli sindiket penyeludupan dadah," katanya.
Mohd Yusoff berkata polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes berkenaan.
Beliau berkata wanita berkenaan akan dimasukkan dalam senarai dikehendaki polis dan usaha mengesannya dijalankan bersama pihak berkuasa Thailand.
Terdahulu, media melaporkan sebuah Toyota Vellfire bernombor plat pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan minggu lepas.
Sementara itu, sebanyak 153 pangkalan haram di tanah kerajaan negeri telah dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk dirobohkan.
Beliau berkata operasi perobohan akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.
"Jika terbukti berlaku vandalisme atau pencerobohan, tindakan undang-undang akan diambil. Polis tidak mahu sebarang provokasi berlaku, sama ada oleh penduduk tempatan mahupun sindiket penyeludupan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami