Polis dalam rundingan akhir untuk membebaskan anggota polis marin yang diculik sekumpulan penceroboh di sebuah pusat peranginan di Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya mendapat kerjasama pihak Filipina dalam urusan rundingan dengan kumpulan penjenayah terbabit bagi membebaskan Konstabel Zakia Aliep.

Jalaluddin memaklumkan perkembangan kes setakat ini berjalan dengan baik dan terkawal.

Pihaknya kini dalam proses rundingan akhir antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina dengan suspek penculikan itu.

Menurutnya mangsa, Konstabel Zakia Aliep berada dalam keadaan selamat dan telah menghubungi anggota keluarganya sebanyak 79 kali sejak diculik kumpulan bersenjata itu.

Kejadian itu turut mengorbankan rakan sepasukannya Koperal Ab Rajah Jamuan.

Ia merupakan kes penculikan keempat di kawasan pantai timur Sabah tahun ini.

Sementara itu, pihak polis juga sedang berusaha untuk membebaskan pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak pada 16 Jun lepas.

Sai Chiun juga dimaklumkan berada dalam keadaan selamat.



Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, lima lelaki bersenjata menaiki bot menghampiri kawasan ternakan ikan di Pulau Baik dan melarikan pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China, Yang Zai Lin.

Pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29 tahun, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40 tahun, diculik dari Singamata Reef Resort di Semporna.

Kedua-duanya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina.

Mereka dibebaskan pada 30 Mei lalu.

Pada 15 November tahun lalu, pelancong Taiwan Hsu Li Min, 57 tahun, ditemui mati dalam sebuah bilik di Pulau Pom Pom dengan dua kesan tembakan di dadanya.

Manakala teman wanitanya, Chang An Wei, 58 tahun, diculik oleh kumpulan bersenjata dipercayai kumpulan pengganas dari negara jiran.

Chang dibebaskan pada Disember lalu selepas sejumlah wang tebusan dibayar untuk membebaskannya.