BATU GAJAH: Polis giat mengesan dua suspek dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an, berhubung kejadian samun bersenjata di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Pusing, dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Superintendan Zolkifli Hanafiah berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar 6.45 pagi itu, dua pekerja stesen minyak berkenaan iaitu seorang wanita tempatan berusia 52 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 26 tahun, mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir dan kepala.

"Dapatan dari mangsa mengatakan bahawa kedua-dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dan Honda RSX 150. Salah seorang daripada telah masuk ke dalam stesen minyak berkenaan dengan mengacukan pisau kecil.

"Kedua-dua mangsa tidak mengendahkan arahan suspek hingga menyebabkan berlaku pergelutan. Dalam pergelutan itu, suspek berjaya melarikan dua telefon bimbit yang dianggarkan bernilai sekitar RM500," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar kejadian itu yang dikongsikan netizen di aplikasi Telegram, memaparkan seorang wanita terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala barangan di dalam stesen itu turut berselerakan.

Zolkifli berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Beliau berkata berkata kedua-dua mangsa mengalami luka di bahagian mulut dan kepala, selain telah dirujuk ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan susulan dengan pekerja wanita itu menerima empat jahitan di bahagian bibir, manakala pekerja lelaki itu menerima lapan jahitan di kepala.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat terhadap kejadian yang berlaku, untuk menghubungi IPD Batu Gajah untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA