Kertas siasatan kes kematian William Yau Zhen Zhong, 6, yang hilang dan kemudian ditemui mati di Pelabuhan Klang 24 Jan lepas telahpun siap dan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata hasil siasatan dan bukti yang diperoleh polis sepanjang siasatan kes itu lebih menjurus kepada kematian mengejut.

"Kami sudahpun ajukan kertas siasatan kes William untuk diteliti timbalan pendakwa raya dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

William dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya dan ditemui mati berhampiran Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang pada 24 Jan lepas.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata polis masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes seorang gadis berusia 22 tahun yang maut selepas terkena tembakan sepasukan anggota polis ketika cuba menahan kereta dinaikinya bersama seorang suspek di Taman Sejati di Klang 18 Jan lepas.