ALOR SETAR: Polis Kedah menerima 306 laporan berkaitan pelbagai jenis aduan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula 28 Julai hingga 13 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah SAC Alzafny Ahmad berkata sebanyak 42 kertas siasatan dibuka dengan 40 daripadanya telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.

"Satu (kertas siasatan) masih dalam siasatan dan satu lagi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny yang juga jurucakap media PRN15 Kontinjen Kedah berkata khianat bendera dan kain rentang parti merekodkan kes tertinggi sebanyak 19 kes, yang disiasat mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"(Kemudian) diikuti Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melibatkan kes kad pengenalan telah digunakan individu lain semasa mengundi yang mencatatkan sebanyak sembilan kes," katanya.

-- BERNAMA