PASIR MAS: Polis Kelantan tidak akan berkompromi terhadap kes seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor selepas disyaki merogol seorang wanita yang membuat laporan di pejabat suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya tidak sesekali menyembunyikan kes berkenaan malah akan menjalankan siasatan lebih teliti terhadap pegawai berusia 38 tahun itu.

"Dia (suspek) kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Suspek juga akan disiasat di bawah kesalahan tatatertib dan orang ramai perlu melihat perkara itu secara keseluruhan serta memberi peluang kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 109 pegawai dan pesara polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berusia 23 tahun hadir sebagai saksi bagi siasatan berkaitan satu kes pemerasan di IPD Tumpat.

"Mangsa adalah seorang peniaga barangan kosmetik secara dalam talian dan hadir ke IPD Tumpat sebagai saksi dan ketika kejadian tiada sesiapa di tempat tersebut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat terhadap seorang Inspektor polis yang disyaki merogol seorang wanita di IPD Tumpat.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata dalam Operasi Tapis Bersepadu di seluruh negeri yang dijalankan pada 24 hingga 28 Jan lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan menahan 328 orang atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga 65 tahun melibatkan 311 warga tempatan serta 17 warga asing selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM376,000 termasuk ganja, pil kuda dan Eramin 5.

-- BERNAMA