BATU PAHAT: Polis telah mengenal pasti penganjur dan orang awam yang terlibat dalam insiden ‘joget’ melibatkan penganjuran konsert di Ayer Hitam, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, beberapa individu terdiri daripada orang awam telah dirakam percakapan berhubung kejadian tersebut.

Jelas beliau lagi, penganjur konsert tersebut adalah sebuah kementerian kerajaan, dan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Ia merupakan satu acara kerajaan, (dan) acara kerajaan tidak perlu permit polis.

“Walau bagaimanapun pihak kementerian ada memaklumkan kepada pihak polis dan kita ada membuat kawalan pada hari tersebut.

“Beberapa orang (orang awam) telah dipanggil untuk diambil tindakan oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita di Pusat Mengundi Awal di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat di sini pada Selasa.

Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi lebih 20 minit tular memaparkan sekumpulan individu sedang rancak menari tanpa penjarakan fizikal di sebuah konsert di Ayer Hitam, di sini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kes disiasat di bawah Peraturan 16, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain laporan berhubung kejadian tersebut, Ismail berkata pihaknya turut menerima satu lagi laporan melibatkan penganjuran ceramah di Senggarang yang melebihi had ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Ismail yang selesai menjalankan tanggungjawab bagi undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memaklumkan, seramai 671 pegawai dan anggota polis di seluruh daerah Batu Pahat terlibat hari ini di sembilan lokasi balai polis.

Daripada jumlah tersebut, seramai 16 pegawai dan anggota polis di IPD Batu Pahat tidak dapat mengundi kerana dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin.

“Begitu juga daripada 631 (IPD Batu Pahat), seramai 61 orang telah bertukar ke luar kontinjen dan daerah luar.

“Sebahagian mereka kemungkinan akan (keluar mengundi) dan kalau tiada halangan akan capai 90 peratus undi polis hari ini,” ujarnya lagi.

IPD Batu Pahat berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram.

PRN Johor kali ini kerusi DUN Penggaram menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Ter Hwa Kong; Sia Wee Yet (Perikatan Nasional), Gan Peck Cheng (Pakatan Harapan) serta Zahari Osman (Bebas).