BALIK PULAU: Polis sedang berusaha mengesan seorang kanak-kanak yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menyembur cat pada beberapa kereta yang diparkir di kawasan Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menerima lima laporan polis daripada pemilik kereta yang menjadi mangsa vandalisme, apabila kenderaan mereka disembur dengan cat, yang memaparkan perkataan-perkataan tidak senonoh.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata perbuatan itu disyaki dilakukan oleh seorang kanak-kanak antara pukul 2 hingga 2.30 petang, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Wan Muhammad Syamim Wan Azmi dengan menelefon 04-8662222.

-- BERNAMA