BATU GAJAH:Polis mengesan seorang lelaki dipercayai cuba menyamun juruteknik syarikat kawalan keselamatan menggunakan objek menyerupai pistol di sebuah bank di Pekan Batu Gajah, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam kejadian jam 3.40 petang itu, suspek menghampiri pekerja syarikat keselamatan terbabit yang baru mengeluarkan wang daripada mesin deposit tunai (CDM).

"Ketika mereka mahu memasukkan wang kutipan itu ke dalam van yang menunggu di luar bank, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul dan mengacukan objek berwarna hitam menyerupai pistol ke arah pengawal keselamatan yang bersenjata.

"Suspek kemudian mengacu objek itu ke arah juruteknik sambil mengarahkannya menyerahkan wang berkenaan. Bagaimanapun juruteknik itu enggan dan berlari masuk ke dalam van.

"Suspek dipercayai panik dan melarikan diri ke arah belakang bangunan premis bank tersebut," katanya di sini, malam ini.


Menurutnya, semasa kejadian juruteknik dan pengawal keselamatan bersenjatakan senapang itu membawa kira-kira RM200,000 yang baru diambil dari mesin CDM.

Katanya, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar tempat kejadian untuk mengenal pasti identiti suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan.