Sekolah ditutup susulan gelombang sejuk landa China

Pihak berkuasa pengangkutan melaksanakan operasi pembersihan salji dan penyelenggaraan jalan raya bagi memastikan trafik terus bergerak lancar. - Gambar fail/Reuters
BEIJING: Sekolah ditutup, pasukan pembersihan salji diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dan amaran cuaca sejuk dikeluarkan ketika gelombang sejuk melampau melanda China, menjejaskan kehidupan harian, lapor Xinhua.
Di Wilayah Jiangsu, pihak berkuasa pendidikan di bandar Xuzhou pada Isnin dan Selasa menggantung sesi persekolahan di sekolah rendah, menengah serta tadika berikutan ramalan salji lebat dan cuaca sangat sejuk yang menimbulkan risiko keselamatan.
Penutupan itu dibuat susulan amaran pihak berkuasa meteorologi bahawa wilayah berkenaan dijangka dilanda udara sejuk yang meluas, angin kencang dan salji. Keadaan ribut salji diramal berlaku mulai Isnin di beberapa kawasan Xuzhou, Suqian dan Huai'an, dengan ketebalan salji dijangka mencecah lima hingga lapan sentimeter. Sebahagian besar wilayah itu juga berdepan risiko kerosakan akibat fros dan jalan licin.
Di Wilayah Henan, pihak berkuasa pengangkutan melaksanakan operasi pembersihan salji dan penyelenggaraan jalan raya bagi memastikan trafik terus bergerak lancar. Sehingga Isnin, sebanyak 113 peralatan digunakan dengan penggunaan hampir 900 tan bahan pencair salji.
Di Wilayah Hunan, balai cerap meteorologi wilayah pada pagi Isnin menaik taraf amaran gelombang sejuk, memberi amaran bahawa suhu di kebanyakan kawasan bakal turun di bawah paras beku, disertai angin kencang dari Isnin hingga awal pagi Rabu.
Orang ramai diingatkan memakai pakaian tebal, mengukuhkan pintu, tingkap dan struktur sementara, serta berlindung ketika angin kencang. Mereka turut dinasihatkan lebih berwaspada terhadap potensi risiko keselamatan ketika berada di luar rumah.
Pihak berkuasa meteorologi China pada Isnin memperbaharui amaran gelombang sejuk, memberi amaran bahawa suhu di banyak kawasan di seluruh negara dijangka menjunam dalam tempoh beberapa hari akan datang. Beberapa wilayah dijangka mengalami penurunan suhu antara enam hingga 10 darjah Celsius bermula Isnin hingga Rabu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


