Polis sedang mengenal pasti identiti seorang remaja perempuan dipercayai bawah umur yang memandu kereta dalam video yang tular di laman sosial Facebook 'Sayang-sayang DSV'.

Video berdurasi 33 saat itu dipercayai dirakam pada 2018 di kawasan berhampiran Meru Hills di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, video berkenaan memaparkan seorang remaja perempuan sedang memandu sebuah kereta, namun model dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

“Satu laporan polis dibuat Pegawai Trafik Daerah Ipoh berkenaan video tular tersebut dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti identiti pelaku dan butiran kenderaan di dalam video berkenaan.

"Dalam video sama juga, terdapat suara seorang wanita sedang berbual dengan remaja tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan individu di bawah umur memandu kenderaan motor.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu kenderaan motor tanpa lesen.