Polis kesan suspek pecah rumah, curi RM3,000 di banting

Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di sebuah taman perumahan di Banting, pada Rabu lepas. - Foto hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang suspek lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di sebuah taman perumahan di Banting, Kuala Langat dekat sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada penghuni rumah berusia 53 tahun pada pagi hari sama yang turut memaklumkan telah kehilangan wang berjumlah RM3,000.
"Mangsa dapati barang-barang di tingkat bawah dalam keadaan berselerak dan setelah membuat pemeriksaan dia mendapati wang yang diletakkan di dalam almari di ruang tamu telah tiada.
"Mangsa telah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki telah masuk ke dalam rumah dan mencuri wang tersebut kira-kira pukul 6 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Mohd Akmalrizal berkata hasil semakan CCTV mendapati suspek berpakaian gelap, bertopi keledar merah dan bersarung tangan.
Beliau turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya hadir ke balai polis berdekatan atau boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerusi talian 03-31872222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami