Pihak polis berkata mereka telah menerima maklumat bahawa terdapat rancangan untuk mewujudkan provokasi terhadap pihak berkuasa dan mencetuskan huru-hara semasa perhimpunan Black505 esok.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur DCP Datuk Mohmad Salleh penganjur perhimpunan itu juga dijangka akan mencetuskan huru-hara di sekitar bandar.

"Polis Kuala Lumpur telah menerima maklumat bahawa pihak penganjur telah mengarahkan semua peserta perhimpunan mewujudkan provokasi terhadap pihak berkuasa yang ditugaskan bagi mengurus kawalan orang ramai di Padang Merbok dan tujuh lokasi lain esok," kata Mohmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

"Provokasi tersebut bertujuan untuk menimbulkan kemarahan di pihak polis kepada peserta perhimpunan dan boleh mencetuskan kekecohan di tempat-tempat tersebut," katanya.

Mohmad juga berkata bahawa keadaan huru-hara akan "sengaja disebar” di seluruh pelusuk dunia melalui pelbagai medium komunikasi untuk menunjukkan kekerasan pihak berkuasa.

Justeru polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan ini kerana “ia jelas menunjukkan bahawa pihak penganjur sengaja ingin melihat pertempuran berlaku di antara pihak berkuasa dengan orang ramai.”

Beliau juga berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang.

Petang tadi, Ketua polis daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad telah menegaskan perhimpunan Black505 esok masih “haram”.

Beliau juga berkata polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman Akta 2012.

Seksyen 9 memerlukan keperluan terhadap penganjur perhimpunan untuk memaklumkan kepada polis 10 hari sebelum perhimpunan dirancang untuk diadakan.

"Kami mempunyai pegawai, kita bersedia untuk menghadapi mereka," Zainuddin memberitahu Astro AWANI.

Beliau berkata polis juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk membawa senjata ke perhimpunan tersebut.

Mengenai kemungkinan tentera akan membantu dalam mengawal keadaan, Zainuddin berkata: "Mereka sudah bersedia dan akan bertindak jika diperlukan."

Zainuddin juga menolak laporan-laporan awal tadi yang menyatakan polis akan memudahkan perjalanan perhimpunan.

PKR hari ini berkata bahawa ia menerima pengesahan rasmi bahawa polis akan memudahkan perhimpunan tersebut dan segala usaha telah dibuat untuk memastikan ia akan menjadi aman.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli juga berkata, sukarelawan perubatan sedia membantu dalam keadaan jerebu yang "membimbangkan".

Markas perubatan akan didirikan di Padang Merbuk, manakala empat yang lain di Dataran Merdeka, Masjid Negara, Kompleks Membelibelah Sogo dan Dataran Maybank. Terdapat juga akan ambulans dan motosikal rondaan disediakan.

"Sesiapa yang memerlukan perhatian perubatan boleh SMS 0102772072 dengan maklumat berikut, jenis kecemasan, bilangan orang yang terlibat, lokasi dan identiti mereka yang menghubungi," kata Rafizi.