IPOH: Polis sedang mengesan warganegara asing bagi membantu siasatan video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini difahamkan pasangan pelancong berkenaan telah berada di luar Malaysia

Menurutnya, siasatan kes tersebut akan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“Kita akan mengkaji daripada pelbagai aspek, daripada masa, tempat, tarikh kejadian itu berlaku.

“Jadi saya serahkan kepada pihak Bukit Aman dan juga kita akan menunggu arahan dari Bukit Aman untuk siasatan seterusnya.

“Pihak Bukit Aman telah meminta saya untuk menyerahkan kepada mereka dahulu, untuk mereka membuat siasatan dulu kerana kita nak menentukan di kawasan mana sebenarnya yang didakwa oleh pelancong ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan di  Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan Polis Bukit Aman sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Terdahulu, menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar di platform X itu, pasangan pelancong dari United Kingdom tersebut disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan mereka, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.