LANGKAWI: Akibat degil dan sengaja mencabar kewibawaan pihak berkuasa dengan melanggar syarat lesen, 11 nelayan dari  tiga buah bot ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menangkap ikan di perairan Selat Kuah, Langkawi, pada Selasa malam.

Komander PPM Wilayah Satu Langkawi, ACP Rosman Ismail berkata, pasukannya yang mengatur gerak operasi bermula jam 8 malam terserempak dengan ketiga-tiga bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua buah bot berkenaan didapati melakukan kesalahan melanggar syarat-syarat lesen menggunakan awak-awak berlebihan berbanding kelulusan pada buku lesen, manakala sebuah bot lagi melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen daripada Jabatan Perikanan.

“Kesemua yang ditahan adalah 11 orang lelaki dewasa tempatan yang terdiri daripada tekong dan awak-awak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua yang ditahan adalah warganegara tempatan berusia 15 hingga 45 tahun.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen dan gagal mempamerkan lesen yang sah.

“Semua barang rampasan seperti ikan, peralatan menangkap ikan dan kapal pukat tunda dirampas dan dibawa ke Jeti PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang sama pihaknya telah menahan sebuah lagi bot nelayan di kawasan perairan laut Pulau Sigai, Langkawi.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot dan enam kru bot berkenaan berjaya menemukan berberapa paket tiub berwarna merah, kuning dan hijau disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan heroin serta sejumlah wang tunai bernilai RM1,037,” katanya.

Kesemua nelayan itu berusia 20 hingga 40 tahun.

Katanya, kesemua barang rampasan seperti, peralatan menangkap ikan serta bot dibawa balik ke Jeti PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah seksyen 39 A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.