KAJANG : Polis menafikan maklumat tular menerusi media sosial kononnya seorang anggota pasukan itu meninggal dunia selepas mengambil suntikan kedua vaksin COVID-19.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya masih lagi menunggu siasatan dan hasil keputusan bedah siasat dari Jabatan Forensik Hospital Kajang.

"Maklumat itu tidak betul, pihak kami sedang menyiasat berita palsu ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Mohd Zaid meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga mencetus keresahan.

"Saya menyarankan kepada semua di luar sana agar tidak membuat spekulasi yang tidak benar berkenaan maklumat ini yang boleh meresahkan orang ramai," ujarnya.