Polis hari ini menafikan berlakunya kejadian cubaan culik kanak-kanak di Taman Cahaya Pelangi di sini, sebagaimana yang tular menerusi media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata berdasarkan siasatan awal polis yang mengambil keterangan kanak-kanak di kawasan berkenaan, tiada unsur cubaan menculik seperti yang tersebar.

"Pada 6 Nov 2018 telah tersebar melalui media sosial berkenaan cubaan culik ke atas kanak-kanak lelaki di Taman Cahaya Pelangi. Dinyatakan suspek membabitkan empat lelaki yang menutup muka dan bersenjatakan parang serta menggunakan sebuah van berwarna putih dan tidak diketahui nombor pendaftarannya.

"Menurut keterangan saksi, suspek terbabit bersembunyi di kawasan semak dan memerhatikan kanak-kanak, namun tidak ada sebarang perbuatan jenayah oleh suspek ke atas kanak-kanak tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini dakwaan menculik tersebut tidak berlaku bagaimanapun pihaknya mengambil maklum tentang laporan dan akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihati orang ramai berhenti menghebahkan isu itu kerana kes dalam siasatan.

Polis juga meminta orang awam menghubungi balai berhampiran jika mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan.

"Mereka yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

-- BERNAMA