Polis pantau kumpulan ajaran sesat bagi kekang fahaman ekstrem - Ayob Khan

Ramli Ngah Talib (tiga, kanan) bersama Chow Kon Yeow (dua, kanan) dan Ayob Khan (kanan) memeriahkan majlis pelepasan PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di Queensbay, hari ini. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Polis memantau rapat kumpulan ajaran sesat di negara ini bagi mengekang ia daripada berkembang menjadi fahaman ekstrem yang boleh mengancam keselamatan awam dan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemantauan secara berterusan penting dalam memastikan fahaman dibawa itu tidak melintasi garisan keselamatan sehingga boleh mencetuskan kegiatan keganasan dan militan.
"Ada pihak mengatakan kenapa pihak polis mahu mengambil berat tentang ajaran sesat kerana beranggapan ia bukan isu polis, tetapi mereka tidak faham bahawa sebenarnya bermula daripada ajaran sesat, boleh berkembang kepada fahaman ekstrem kemudian terlibat dalam aktiviti keganasan, militan dan sebagainya
"Jadi, kita kena pantau kalau mereka sudah sampai melintasi garisan keselamatan itu, daripada ajaran sesat sehingga merancang nak buat serangan atau pembunuhan kita kena ambil tindakan, takkan nak biarkan sampai mereka melakukan sesuatu baru kita nak tangkap," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai acara kayuhan basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di Queensbay, di sini, hari ini.
Pelepasan rasmi kayuhan disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib malam tadi disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail.
Ayob Khan mengulas mengenai aktiviti ajaran sesat di negara ini serta kritikan pihak tertentu yang mempersoalkan usaha polis dalam memantau hal berkaitan ajaran kumpulan itu.
Walaupun ajaran sesat pada peringkat awal berada di bawah bidang kuasa Jabatan Agama, beliau berkata, pihak polis tetap menjalankan pemantauan khususnya melibatkan aspek keselamatan sebagai langkah pencegahan awal, selain menekankan kerjasama erat yang telah lama dijalin dengan kerajaan negeri, Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam negeri-negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau berkata, pengalaman lepas telah membuktikan ajaran sesat mampu berkembang menjadi satu gerakan ekstrem sekiranya tidak dipantau dan dikawal lebih awal sehingga mengancam keselamatan negara.
"Seperti kumpulan Jemaah Islamiah (JI), mereka bermula dengan ajaran sesat. Sejak memasuki Malaysia sekitar 1985, kumpulan itu mengembangkan ideologi ekstrem sehingga akhirnya terlibat dalam kegiatan keganasan dan militan," katanya.
Beliau turut menjelaskan, kebanyakan kumpulan ajaran sesat yang dipantau ketika ini melibatkan rakyat tempatan, walaupun ideologi yang dibawa dipengaruhi fahaman dari luar negara.
Sebelum ini, Ayob Khan mendedahkan, sebanyak 14 ajaran yang difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini dengan lapan daripadanya dalam pemantauan pihak berkuasa.
Sejak 1950 hingga kini, sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat dengan 114 daripadanya dikenal pasti serta diberi tumpuan oleh Cawangan Khas PDRM seperti Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, The Ahmadi Religion of Peace and Light.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


