MALAYSIA
Polis parah ditembak, mayat wanita ditemui

Dalam pergelutan yang tercetus, seorang anggota polis ditembak di bahagian perut menggunakan pistol miliknya sendiri yang dirampas suspek, selain turut ditikam sebelum suspek melarikan diri. -Gambar hiasan/Pexels
PERAK: Seorang anggota polis parah selepas ditembak dan ditikam, manakala mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah kereta ditinggalkan suspek di kawasan Simpang Pulai, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.15 pagi apabila sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai mengesan sebuah kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan.
Cubaan menahan kenderaan berkenaan gagal apabila suspek bertindak melarikan diri, mencetuskan aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.
Dalam pergelutan yang tercetus, seorang anggota polis ditembak di bahagian perut menggunakan pistol miliknya sendiri yang dirampas suspek, selain turut ditikam sebelum suspek melarikan diri.Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang. Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB untuk mengenal pasti punca kematian.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri bersama sepucuk pistol milik anggota yang cedera. Usaha menjejakinya dipergiat dengan kerjasama semua jabatan dan unit khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta segera tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Fadli Ahmad di talian 012-2500019.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah serius seumpama ini. Kita akan memastikan suspek diberkas dalam kadar segera,” tegasnya.
Datuk Noor Hisam turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya mengesan suspek, sebaliknya menyalurkan maklumat terus kepada polis.
Katanya, PDRM komited untuk memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin dan semua suspek kes jenayah berat dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami