Polis perkukuh pemantauan terhadap institusi agama tidak berdaftar di Kelantan

Mohd Yusoff ketika ditemu bual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini. -- fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Polis mempertingkatkan pemantauan terhadap institusi agama yang tidak berdaftar di negeri ini bagi mengelakkan penyalahgunaan premis berkenaan untuk kegiatan ajaran sesat atau jenayah.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan itu selaras dengan komitmen polis untuk memastikan semua institusi agama, termasuk pondok dan pusat tahfiz, beroperasi mengikut peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.
"Polis amat tegas dalam hal ini. Fokus utama kami ialah pondok dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mengelakkan sebarang kegiatan tidak sihat yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes sebuah madrasah di Tumpat, milik seorang ustaz dikenali sebagai Abuya, yang menjadikan madrasah itu sebagai tempat untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.Mohd Yusoff berkata polis telah menghantar dua pegawai ke MAIK beberapa hari lepas bagi membincangkan isu berkenaan secara bersama.
"Dalam pertemuan itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK (Datuk Mohd Anis Hussein) bersetuju untuk mengambil tindakan susulan terhadap institusi agama yang masih belum berdaftar bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan ditetapkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan pada 11 Sept lepas, seorang mudir madrasah di Tumpat, Muhammad Aswadi Yah, 46, atau dikenali sebagai Abuya, berdepan dengan tujuh pertuduhan amang seksual dan memiliki gambar lucah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami