PETALING JAYA:Polis Petaling Jaya melupuskan barang kes perjudian dalam talian bernilai lebih RM17.77 juta yang dirampas sejak 2012 sehingga tahun lalu.

Antara barang yang dilupuskan ialah 756 set komputer, 178 tablet, 967 komputer riba, 12 mesin simulator dan lima buah telefon bimbit.

Selain itu, wang tunai hasil perjudian dalam talian sejumlah RM33,182.00 yang dirampas ketika Operasi Dadu sejak tahun 2017 hingga tahun lalu pula diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.






Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, barang kes berkenaan membabitkan 207 kertas siasatan yang selesai perbicaraan di mahkamah.

"Daripada jumlah itu, 186 kes selesai perbicaraan di mahkamah manakala 21 kes lagi diklasifikasikan NFA (tiada tindakan lanjut)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Majlis pelupusan barang kes perjudian dalam talian di Balai Polis Ara Damansara itu turut dihadiri Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Dalam pada itu, Nik Ezanee juga mengucapkan terima kasih kepada media yang memberi sokongan dalam menaikkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus memupuk kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap tugasan polis.